MENU

Sejarah Pekan Kulim

Daerah Kulim dipercayai dibuka dan didiami sejak pertengahan abad ke 18 lagi iaitu dengan jumlah 100 orang yang berasal dari keturunan Melayu Pattani. Menjelang pertengahan abad ke 19 Kulim telah menjadi tumpuan kerana penemuan hasil bijih timah. Pada tahun 1890 terdapat 400 pelombong Cina beroperasi di Kulim. Antara kawasan terawal pembukaan Daerah Kulim ialah di Belakang Tebok. Lombong-lombong bijih timah yang terbesar telah dibuka di kawasan Kulim ialah Taman Tunku Putra, Kg Bukit Besar, Karangan, Terap dan Kelang Lama. Menurut catatan pada tahun 1854 terdapat 8 buah syarikat cari gali bijih timah dengan jumlah pekerja seramai 1500 orang. Pada tahun 1888 tercetus peristiwa besar di Kulim yang melibatkan pekerja-pekerja lombong bijih timah. Peristiwa ini dikenali sebagai "Perang Nyonya Cantik" atau "Perang Kulim". Kejadian ini bermula apabila taukeh-taukeh lombong bijih di sekitar Kulim bergaduh sesama sendiri kerana merebut seorang wanita Cina yang cantik atau wanita simpanan. Taukeh-taukeh ini telah menggunakan pekerja-pekerja lombong masing-masing dalam pergaduhan yang terjadi.

Keamanan penduduk telah terancam dan pergaduhan ini telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya dengan memakan korban yang banyak di antara pihak-pihak yang terlibat. Insiden Perang Kulim 1888 ini telah menyebabkan kerajaan Kedah terpaksa melantik seorang rakyat British iaitu B.E Mitchell sebagai Ketua Polis Kulim pada tahun 1890 dan kedudukan kewangan negeri Kedah yang teruk. Melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 maka pihak British telah menganggap Kedah telah pun berada di bawah pemerintahannya. Hanya pada tahun 1923 barulah Sultan Abdul Hamid membuat perjanjian dengan British bahawa Kedah secara rasmi menjadi naungan British. Nama Daerah Kulim dipercayai diberikan kerana terdapat banyak Pokok Kulim yang terdapat di kawasan ini terutama di kawasan Bandar Kulim oleh penduduk awal ini. Bekas pelombong yang bekerja di kawasan perlombongan yang kaya dengan hasil bijih timah di negeri Perak iaitu di kawasan Larut, Matang, Taiping dan Selama adalah yang mula-mula membuka Daerah kulim. Bekas pekerja lombong ini melarikan diri dari kawasan bijih timah di negeri Perak kerana tidak mahu terlibat dengan pergaduhan yang sering berlaku di antara Kumpulan Kongsi antaranya kumpulan Ghee Hin dan Hai San yang sering di tubuhkan oleh pekerja-pekerja lombong negeri Perak bagi merebut kawasan yang kaya dengan bijih timah. Dipercayai pelombong-pelombong ini melarikan diri merentas hutan belukar di kawasan Kulim menuju ke Pulau Pinang untuk mencari pendudukan baru.

Pulau Pinang ketika itu sudah menjadi bandar pelabuhan yang sibuk di Utara Tanah Melayu sejak pembukaannya oleh Inggeris pada tahun 1786. Ketika melalui kawasan Kulim bekas-bekas pelombong ini mendapati dalam sungai dan tanah ada tanda bahawa wujudnya bijih timah dan telah mengambil keputusan untuk tinggal menetap dan membuka perkampungan bagi memudahkan mereka mendulang bijih timah. Di antara bangunan warisan yang masih terdapat di Kulim ialah panggung Coronation,Sek Men St. Patrick (1933) yang mana telah dijadikan sebagai bangunan perniagaan. Sekolah Menengah Sultan Badlishah (1948), Balai Polis Kulim dan sebagainya. Manakala jam merdeka Kulim telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Kedah pada 15 September 1957 yang masih kekal menjadi mercu tanda bagi bandar Kulim. Jam Merdeka Kulim telah berdiri megah lebih 44 tahun iaitu seusia dengan Kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957. Batu asas Jam Merdeka ini telah dibuat oleh YPM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 14 Jun 1957. Jam Merdeka Kulim ini telah berjaya disiapkan dalam tempoh 3 bulan dan dirasmi oleh DYMM Tuanku Sultan Badlishah Ibni Almarhum Yang Di Pertuan Paduka Seri Sultan Abdul Hamid Shah, KOM, CMG, KBE Sultan Kedah pada 15 September 1957 iaitu 2 minggu selepas Perisytiharan Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957.

  • Bagi memastikan pembinaan Jam Merdeka Kulim dapat disiapkan mengikut jadual maka sebuah Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan iaitu :-
  1. Tuan Syed Osman Syed Mohammad Idid - Pengerusi (Pegawai Daerah Kulim / YDP Majlis Bandaran Kulim)
  2. En Mohammad Shakaff b Hussin - Bendahari
  3. En. mansur Hj Ahmad - Setiausaha
  4. Ketua Polis Kulim
  5. En B. G. Philips, JP
  6. En. Chew Chin Hooi, JP
  7. En. Soon Cheng MEng, JP
  8. En. M.Y.Samsudin, JP
  9. En. Khor Seng Guan
  10. En. Moey Chong Yen
  11. En. R. Themuligan

Kos Pembiayaan Jam Merdeka Kulim Dibiayai melalui penduduk Kulim sendiri yang berdasarkan catatan sebanyak RM40,000.00 sebagai manifestasi penduduk Kulim sebagai rakyat negara ini di atas kejayaan negara mencapau kemerdekaan dari penjajahan British.

Hingga Kini Jam Merdeka Kulim masih lagi menjadi mercu tanda kebanggaan penduduk Kulim. Ianya kini telah diindahkan lagi termasuk mengadakan air pancutan di kawasan bersebelahan dengannya.

Bandar Kulim terletak di kawasan tenggara negeri Kedah dan terletak berdekatan dengan sempadan negeri Pulau Pinang yang terletak di barat. Bandar Kulim asalnya merupakan kawasan penempatan yang kecil pada era 1950-an. Kini ia merupakan tempat yang maju dengan kawasan-kawasan industri yang terletak di sekitar Bandar Kulim..Dewan Undangan Negeri Kulim terletak di Kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu di negeri Kedah Darul Aman, negara Malaysia. Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia. Penubuhan Taman Teknologi Tinggi Kulim (atau Kulim Hi-Tech Park) diharap dapat mencetuskan pembangunan pesat di Kulim

kulim clock tower
(Menara jam kulim)

 

Kemaskini Terakhir: Ahad, 16 Julai 2017 - 10:14am