MENU

-Pertukaran YDP dan SU MPKK-

oleh: has

Majlis Perbandaran Kulim telah mengadakan Majlis Hi-Tea sempena pertukaran Tuan Yang Dipertua dan Tuan Setiausaha yang berkuatkuasa 15 September 2016. MPKK telah menerima Tuan Yang Dipertua baharu iaitu Tuan Haji Rohaizad bin Rashid menggantikan Mantan Tuan Yang Dipertua Tuan Haji Md Nordin bin Yahya yang telah dilantik sebagai Tuan Pegawai Daerah Kuala Muda, manakala MPKK turut menerima kedatangan Tuan Setiausaha yang baharu iaitu Tuan Haji Saiful Anwar bin Azmi menggantikan Tuan  Mohamad Sahaimi bin Man yang memegang jawatan Setiausaha Bahagian, Khidmat Pengurusan, SUK Kedah. 

Majlis Hi-Tea yang diadakan turut dihadiri oleh Ahli Majlis , Majlis Perbandaran Kulim, Pengarah Jabatan/Agensi Kerajaan, Pengarah Jabatan MPKK dan warga kerja Majlis Perbandaran Kulim. Mantan Tuan Yang Dipertua Tuan Haji Md Nordin melalui ucapan merakamkan setinggi penghargaan kepada semua Pengarah dan warga kerja MPKK yang telah memberi kerjasama serta komitmen yang tinggi sepanjang perkhidmatannya di Majlis Perbandaran Kulim. Beliau turut berbangga dengan kejayaan yang telah diperolehi MPKK seperti Johan Pertandingan Perahu Panjang mewakili Daerah Kulim, Pengauditan Sijil Bersih ke atas akaun MPKK, Pengauditan Star Rating dengan markah diperolehi mencapai tahap 5 bintang, Pensijilan MS ISO 9001:2008 dengan 28 SOP, Pensijilan Program 5S, Johan dan Naib Johan Kumpulan KIK di Konvensyen Peringkat Negeri serta pencapaian di Peringkat Kebangsaan. Beliau yakin dengan komitmen dan kerjasama secara berterusan ini akan menjadikan MPKK berada pada landasan yang betul dan dapat meletakkan MPKK sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang terbaik khususnya di Negeri Kedah dan amnya di Malaysia. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja MPKK.

Mantan Tuan Setiausaha Tuan Mohamad Sahaimi bin Man turut menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut. Beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan kepada beliau walaupun beliau hanya baru berkhidmat di MPKK selama 6 bulan. Beliau amat berbangga dan yakin dengan prestasi serta kerjasama padu yang ditunjukkan akan menjadikan Kulim terus menjadi peneraju pengurusan perbandaran yang gemilang pada masa akan datang.

Tuan Yang Dipertua baru iaitu Tuan Haji Rohaizad bin Rashid dalam ucapannya merakamkan terima kasih kepada kedua-dua mantan Tuan Yang Dipertua dan Tuan Setiausaha MPKK di atas kejayaan yang telah diperolehi oleh MPKK selama ini. Dan beliau yakin bahawa pengalaman dan tunjuk ajar yang telah ditinggalkan oleh kedua-dua mantan akan dimanfaatkan oleh warga kerja MPKK khususnya. Sebelum berakhir Majlis, penyampaian cenderamat kepada kedua-dua Mantan Yang Dipertua dan Setiausaha telah disempurnakan oleh Tuan Yang Dipertua MPKK.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 29 Jun 2017 - 10:41am