MENU

sumber : Bahagian Komunikasi Korporat, MPKK
 

KULIM 29.6.2020 - Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) bagi Penggal 2020-2021 telah berlangsung bertempat di Bilik Al-Hikmah, MPKK. Seramai 18 orang Ahli Majlis pemimpin tempatan mewakili parti politik serta NGO dan 3 orang Ahli Majlis Ex-Officio yang baru dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri telah mengangkat sumpah jawatan pada hari ini.

YAB Menteri Besar Kedah dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Yang Berhormat Tuan Azman Bin Nasrudin, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan, dan Hal Ehwal Masyarakat India, menyeru agar barisan kepimpinan (Ahli Majlis) ini berani melakukan transformasi demi kemajuan PBT serta dapat melaksanakan amanah kerajaan dan masyarakat tempatan yang diwakili dengan penuh integriti.

Beliau juga berharap kerjasama yang terbaik terjalin di antara Ahli Majlis dengan pegawai-pegawai PBT di dalam melaksanakan peranan dan fungsi sesebuah PBT kerana kerjasama ini akan dapat merealisasikan visi untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Ahli Majlis melafaz ikrar dan menandatangani watikah pelantikan di hadapan Yang Dipertua dan Setiausaha MPKK yang disaksikan oleh YB, Tuan Azman Bin Nasrudin Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang mewakili YAB Menteri Besar Kedah. Semoga pelantikan Ahli Majlis ini akan menjadi penghubung antara MPKK dengan masyarakat serta meneruskan kecemerlangan MPKK untuk menerajui pengurusan perbandaran yang mampan dan ke arah Bandar Pintar (Smart City).

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 Julai 2020 - 12:42pm