MENU


 

Assalamualaikum Wrh.Wbt. dan Salam Sejahtera.  Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya kita telah sama-sama memasuki tahun baru 2014.  Saya percaya tempoh 2013 yang dilalui telah membawa cabaran yang besar di dalam memenuhi harapan tinggi warga Kulim namun berkat kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh Ahli-ahli Majlis, ketua-ketua jabatan, masyarakat dan semua warga kerja MPKK, kita telah mampu menghadapinya dan telahpun mampu membawa signifikasi yang besar kepada perubahan kehidupan masyarakat dan penambahbaikan perkhidmatan perbandaran MPKK.

Tahun 2013 melakar satu sejarah kepada MPKK apabila telah berjaya memenangi pelbagai anugerah di peringkat  negeri dan juga kebangsaan. Antaranya Johan Konvensyen  Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Negeri Kedah Tahun 2013 dan seterusnya membawa kepada Kejayaan di peringkat Kebangsaan dengan menerima Anugerah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Kategori Teknikal di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan ke-30 baru-baru ini.

Anugerah yang dimenangi secara tidak langsung telah memberikan impak yang amat besar kepada MPKK untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dengan memperkenalkan inovasi atau idea baru dalam semua aspek kerja untuk menghasilkan perkhidmatan berkualiti.

Saya berharap warga Kulim khususnya warga MPKK akan terus berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan melipatgandakan usaha dalam menjana kecemerlangan bagi mencapai visi MPKK iaitu menjadi Peneraju Pengurusan Perbandaran Yang Dinamik, Berwawasan dan Mampan Menjelang 2015.

Saya yakin jika ianya tercapai, tentulah seluruh penduduk di kawasan pentadbiran MPKK akan terus mengecapi peningkatan kualiti hidup, melangkah maju dalam kehidupan serba moden sekali gus menuju aspirasi negara untuk menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi pada akhir dekad ini.

Sekian,

Bersih Indah dan Selamat, Bersama Memacu Transformasi

HAJI MD NORDIN BIN HAJI YAHYA, AMK.,BCK

Last Updated: Thursday, 16 November 2017 - 3:32pm